Siri 19 - BERMULANYA JUAL BELI PEMAIN.

Mulai 1 sehingga 31 Januari setiap tahun, perpindahan pemain melibatkan kelab-kelab Liga Perdana Inggeris ( EPL ) adalah dibenarkan.

Tempoh ini dinamakan "January Transfer Window" atau "Winter Trasfer Window" memberi peluang kepada kelab-kelab untuk mendapatkan pemain-pemain baru.

Setelah 5 bulan musim 2019-20 berlalu, terdapat kelab-kelab yang berhadapan dengan masalah kecederaan pemain dan tempoh ini digunakan untuk memperkuatkan skuad mereka.

Ia juga merupakan masa untuk melepaskan pemain-pemain yang tidak diperlukan.

Di antara perpindahan berprofil tinggi yang disebut-sebut adalah penyerang Chelsea, Oliver Giroud, yang diberitakan telah bersetuju untuk berpindah ke kelab Serie A Itali, Inter Milan.

Chelsea dilaporkan mahukan di antara 6.8 hingga 8.5 juta pound untuk pemain tersebut tetapi Inter menawarkan hanya 4.5 juta pound.

Giroud mahu berpindah kerana beliau bukan lagi pilihan utama Chelsea dan ini menjejaskan peluang beliau untuk menyertai skuad Perancis ke Euro 2020.

Inter juga diberitakan mengadakan perbincangan dengan agen pemain Tottenham, Christian Eriksen. Pemain Denmark itu sering menjadi mangsa penyokong dan diejek apabila digantikan pada perlawanan menentang Liverpool baru-baru ini.

Manchester United yang memburu 4 tempat teratas untuk layak ke Liga Juara-Juara UEFA atau UCL ( UEFA Champions League ) pula dilaporkan bersedia untuk membayar 65 juta pound untuk pemain tengah Bruno Fernandes dari kelab Portugal, Sporting CP.

Pendahulu EPL, Liverpool, walaupun memiliki skuad yang mantap namun tidak ketinggalan untuk mendapatkan pemain baru.

Mereka berjaya mendapatkan pemain antarabangsa Jepun dari kelab Austria, Red Bull Salzburg, Takumi Minamino dengan yuran perpindahan 7.25 juta pound.

Keupayaan Minamino memang terbukti dengan 42 gol dalam 136 perlawanan untuk Salzburg tetapi ada yang mendakwa Liverpool memperolehi beliau kerana nilai-nilai komersial.

Kelab itu dikatakan sedang berusaha untuk mempertingkatkan populariti mereka di Jepun. Real Madrid dan Barcelona adalah kelab Eropah paling popular di sana tetapi Liverpool berupaya memintas mereka jika Minamino berjaya di England.

Jepun adalah lombong emas bagi mana-mana kelab dengan peluang pendapatan lumayan dari pengiklanan dan jualan jersi.

Satu kelab besar yang sedang menghadapi masalah adalah Arsenal yang sekarang berada di tempat ke 10. Mereka telah dikaitkan dengan beberapa pemain tetapi tidak ada yang pasti dan ini sudah tentu akan mengecewakan penyokong-penyokong yang sekurang-kurangnya mahu melihat mereka layak ke UCL.

Secara keseluruhannya tempoh perpindahan Januari tahun ini kurang rancak berbanding dengan tahun lepas.

Pada tempoh perpindahan Januari tahun lepas, untuk kelab-kelab EPL terdapat 203 perpindahan dengan nilai 251.8 juta pound. Christian Pulisic yang berpindah dari Borussia Dortmund ke Chelsea dengan bayaran 58 juta pound merupakan perpindahan termahal.

Tetapi setakat 8 Januari lepas hanya terdapat 55 perpindahan dengan nilai 29.9 juta pound. Perpindahan termahal adalah Ian Cavaleiro dari Wolverhampton ke Fulham yang bernilai 15 juta pound.

Selepas tamat tempoh perpindahan ini, kelab-kelab hanya boleh membeli atau menjual pemain pada "Summer Transfer Window" dari 17 Mei hingga 9 Ogos akan datang. FIFA menetapkan tempoh ini tidak lebih dari 12 minggu.

Persekutuan bolasepak dunia itu juga menetapkan hanya 2 "transfer window" setahun agar tidak berlaku jual beli pemain sepanjang musim dan keadaan lebih stabil.

Iskandar Abdul Samad
14 Januari 2020

Comments

Popular posts from this blog

Siri 20 - PERLUKAH PASUKAN LUAR DI DALAM LIGA SUPER?

SIRI 13 - LIVERPOOL JUARA DUNIA.

Siri 10 - SAINGAN SEBENAR UEFA CHAMPIONS LEAGUE BERMULA.