Siri 20 - PERLUKAH PASUKAN LUAR DI DALAM LIGA SUPER?

Pada 2 November lepas Johor Darul Takzim (JDT) telah mengalahkan Kedah 3-0 untuk memenangi Piala Malaysia.

Sebelum itu JDT telah merangkul kejuaraan Liga Super meninggalkan naib juara Pahang 10 mata di belakang.

Penguasan JDT tidak tercabar oleh pasukan-pasukan lain di mana daripada 22 pusingan perlawanan mereka berada di tangga pertama untuk 17 pusingan.

Ini merupakan kejuaraan ke 6 JDT dan pada tahun-tahun  sebelum ini keunggulan JDT payah untuk dicabar.

Pada tahun 2018, mereka meninggalkan naib juara Perak dengan 23 mata. Pada tahun 2017 pula, naib juara Pahang ditinggalkan dengan 9 mata. Sementara naib juara Felda ditinggalkan dalam tahun 2016 dengan 15 mata.

Oleh itu, adakah JDT terlalu kuat sehingga tidak didapat dicabar? Atau pasukan-pasukan lain terlalu lemah atau prestasi mereka tidak meningkat?

Satu cara untuk meningkatkan kemampuan pasukan-pasukan itu adalah dengan melibatkan pemain impot yang berkualiti.

Terdapat ramai pemain-pemain impot yang memainkan peranan penting di antaranya adalah Karel Stromsik dari Czechoslovakia yang membantu Selangor memenangi Piala FA tahun 1991, Alan Davidson dari Australia yang membantu Pahang memenangi Piala Malaysia tahun 1992 dan Jang Jung dari Korea Selatan yang bersama Perak memenangi Piala FA tahun 1991.

Sementara trio Abbas Saad (Australia), Alastair Edwards (Australia) dan Ervin Boban (Croatia) telah membantu Johor memenangi Piala Malaysia tahun 1990.

Cara kedua adalah dengan menjemput pasukan luar untuk menyertai saingan bolasepak tempatan.

Singapura telah terlibat dengan Piala Malaysia sejak sebelum Merdeka dan boleh dikira sebagai pasukan luar kerana adalah sebuah negara berdaulat sejak 1965.

Tetapi republik itu tidak menyertainya sejak 1994 akibat perselisihan tentang pungutan tiket.

Walau bagaimanapun mereka telah menghantar pasukan Bawah 23 Tahun, Lions XII, dari tahun 2012 hingga 2015.

Satu lagi pasukan luar, Brunei, telah menyertai Piala Malaysia sejak 1979 dan berjaya memenanginya pada tahun 1999.

Mereka juga menghantar DPMM FC dari tahun 2006 hingga 2008.

Liga Perdana Singapura merupakan liga pertama Asia Tenggara yang menjemput pasukan dari luar rantau ini.

Dalam tahun 1994, kelab-kelab Australia, Perth Kangaroos IFC dan Darwin Cubs telah menyertai liga tersebut. Sejak itu pelbagai kelab luar telah menyertai liga utama Singapura.

Untuk 2020, 2 pasukan luar iaitu Albirex Nigata FC dan DPMM FC akan turut bersaing.

Albirex adalah kelab Jepun yang menubuhkan pasukan khusus, pasukan satelit, untuk bermain di Singapura. Sebelum ini terdapat kelab-kelab satelit lain seperti Dalian Shide Siwu FC dan Lioning Guanyuan FC di mana kelab utama mereka bermain di dalam Liga Super China.

Terdapat juga kelab-kelab yang ditubuhkan untuk pemain dari negara-negara tertentu seperti Etoile FC (Khusus untuk pemain Perancis), Sporting Afrique FC (Afrika) dan Yishun Super Reds (Korea Selatan).

Mungkinkah Malaysia juga menjemput pasukan-pasukan luar? Jika tidak dari Eropah, Afrika atau Jepun mungkin dari negara-negara jiran seperti Thailand, Indonesia, Filipina dan Singapura.

Atau mungkin kita akan melihat pasukan satelit Liverpool atau Chelsea bermain di Malaysia?

Ia sudah tentu dapat merancakkan saingan.

Jumlah kehadiran untuk perlawanan Liga Super menurun hampir 20 peratus pada 2019 berbanding 2017. Dari 871,657 kepada 715,283. Mungkin dengan pasukan-pasukan luar bilangan ini akan meningkat.

Di masa yang sama ia berkemungkinan dapat meningkatkan mutu bolasepak negara.

Dato' Iskandar A Samad
14 Januari 2020

Comments

Popular posts from this blog

SIRI 13 - LIVERPOOL JUARA DUNIA.

Siri 10 - SAINGAN SEBENAR UEFA CHAMPIONS LEAGUE BERMULA.