Siri 14 - JURULATIH TEMPATAN ATAU LUAR?

Keputusan Persatuan  Bolasepak Malaysia ( FAM ) tidak menyambung kontrak jurulatih Skuad Bawah 22 Tahun ( B-22 ) Datuk Ong Kim Swee menghidupkan kembali perbahasan sama ada Malaysia memerlukan jurulatih luar. Kim Swee gagal membawa Skuad B-22 negara ke separuh akhir acara bolasepak Sukan SEA di Filipina baru-baru ini.

Jurulatih luar bukan perkara yang asing. Otto Wesphal dari Jerman yang berkhidmat dari 1965 hingga 1966 adalah jurulatih luar pertama kita.

Sejak 1963, pasukan negara telah dibimbing oleh 48 orang jurulatih di mana 16 orang adalah jurulatih luar.

Gergasi bolasepak Asia, Jepun, hanya melantik 24 orang jurulatih sejak 1963. Separuh dari bilangan jurulatih Malaysia dalam tempoh masa yang sama.

Oleh itu, tidak hairan jika ada yang persoalkan sama ada jurulatih kita diberi masa yang secukupnya untuk mencapai sasaran mereka.

Untuk menentukan sama ada jurulatih tempatan atau jurulatih luar yang lebih berjaya kita perlu melihat pencapaian-pencapaian kita.

Malaysia telah layak ke Sukan Olimpik 1972 di Munich dan jurulatih kita di sana adalah Jalil Che Din. Walau bagaimanapun ketika pusingan pra Olimpik, Malaysia dibimbing oleh Dave McLaren dari Scotland.

McLaren telah berganding dengan Jalil selaku Penolong Jurulatih menyingkirkan Korea Selatan dan Jepun untuk layak ke Munich. Di sana Jalil telah mengambil alih tugas McLaren.

Jalil juga merupakan jurulatih Malaysia ketika negara memenangi pingat gangsa pada Sukan Asia 1974.

Malaysia juga telah layak ke Sukan Olimpik 1980 di Moscow dan pasukan kita dibimbing jurulatih Jerman, Karl Heinz Weigang pada pusingan pra Olimpik.

Di antara jurulatih-jurulatih luar, Alan Harris ( 2000 hingga 2004 ) yang pernah menjadi Penolong Jurulatih Barcelona adalah di antara nama yang paling besar. Kelab itu memenangi La Liga 1984-85 dan memasuki perlawanan akhir Piala Eropah ( European Cup ) 1986 ketika beliau di sana.

Walau bagaimanapun, di bawah beliau Malaysia hanya menang 3 kali, seri 4 kali dan kalah 9 kali iaitu peratus kemenangan 18.75 peratus.

Peratusan kemenangan ini lebih rendah dari jurulatih sekarang, Tan Cheng Hoe dengan 56.67 peratus atau B. Sathianathan ( 2007 hingga 2008 ) dengan 55.56 peratus.

Malah 2 orang jurulatih luar, Bertalan Bicskei dari Hungary ( 2004-2005 ) kalah kesemua 6 perlawanan dan Nelo Vingada dari Portugal ( 2017 ) kalah kesemua 7 perlawanan.

Tetapi ini bukan alasan untuk menolak jurulatih luar. Hakikatnya 2 jurulatih luar telah membawa negara ke Sukan Olimpik. Pasukan negara-negara jiran Thailand, Singapura, Vietnam, Indonesia, Myanmar dan Timur-Leste dibimbing oleh jurulatih luar.

Walau bagaimanapun FAM perlu melantik jurulatih yang terbukti kemampuannya dan bukan "tangkap muat". Contohnya Korea Selatan pernah melantik bekas pengurus Belanda dan Real Madrid, Guus Hiddink, yang telah membawa mereka ke separuh akhir Piala Dunia 2002.

Pada bulan April tahun ini legenda bolasepak negara Datuk Soh Chin Aun mencadangkan negara mengambil jurulatih Jepun atau Korea Selatan kerana mereka adalah yang paling berjaya di Asia.

Sementara bekas jurulatih negara, B. Sathianathan bersetuju dilantik jurulatih Jepun atau Korea Selatan untuk skuad muda dan bukan skuad utama agar cara permainanan mereka diterapkan pada pemain muda dahulu sebelum bergerak ke pasukan utama.

Iskandar A Samad
25 Disember 2019

Comments

Popular posts from this blog

Siri 20 - PERLUKAH PASUKAN LUAR DI DALAM LIGA SUPER?

SIRI 13 - LIVERPOOL JUARA DUNIA.

Siri 10 - SAINGAN SEBENAR UEFA CHAMPIONS LEAGUE BERMULA.