Siri 15 - ADAKAH SAINGAN LIGA PERDANA INGGERIS TELAH BERAKHIR?

Pada 26 Disember lepas Liverpool yang berada di takhta Liga Perdana Inggeris ( EPL ) telah berkunjung ke Leceister yang berada di tempat kedua.

Ramai melihat perlawanan tersebut sebagai penentu sama ada Leicester akan dapat menggugat penguasaan kelab yang baru ditabalkan juara dunia itu.

Leicester ketika itu belum pernah kalah dalam 9 perlawanan di tempat sendiri. Mereka telah menjaringkan 19 gol dan hanya bolos 5 gol. Mereka juga 10 mata di belakang Liverpool dan kemenangan akan melihat mereka merapatkan jurang kepada hanya 7 mata.

Tetapi malang Liverpool telah membelasah mereka 4-0 dan melebarkan jurang di antara mereka kepada 13 mata.

Walau bagaimanapun satu lagi perlawanan keesokan hari mengesahkan betapa sukar untuk pasukan lain mengejar Liverpool.

Perlawanan tersebut melihat juara musim lalu Manchester City tumpas 2-3 kepada Wolverhampton. Walaupun Manchester City ketika itu di tempat ketiga dengan 11 mata di belakang Liverpool namun sebagai juara mereka dilihat sebagai pencabar utama.

Akibat dari kekalahan itu pengurus mereka, Pep Guardiola, mengakui saingan untuk kejuaraan EPL telah berakhir.

Tempat keempat selepas perlawanan tersebut adalah Chelsea yang ketinggalan 20 mata di belakang. Saingan di dalam EPL sekarang dilihat hanya untuk mengejar baki 3 tempat untuk ke Liga Juara-Juara UEFA ( UEFA Champions League ).

Walau bagaimanapun penyokong-penyokong Liverpool tentu berharap sejarah hitam kelab mereka tidak akan berulang kembali.

Liverpool pernah mendahului liga pada akhir bulan Disember musim 1996-97, 2008-9 dan 2013-14 tetapi gagal untuk merangkul kejuaraan liga.

Tetapi kali ini keadaan mungkin berbeza. Mereka telah memenangi 17 dari 18 perlawanan dan seri 1 perlawanan.

Sebagai juara Piala Dunia Kelab FIFA sudah tentu mereka memiliki keyakinan yang lebih dari tahun-tahun sebelum ini.

Nasib juga menyebelahi Liverpool kerana beberapa kali mereka menang dengan jaringan pada babak-babak akhir perlawanan.

Ketika mengalahkan Leceister di Anfield, Crystal Palace dan Aston Villa gol-gol kemenangan Liverpool dijaringkan pada 5 minit terakhir perlawanan atau pada masa kecederaan.

Sementara menentang Manchester United pada 20 Oktober, Liverpool ketinggalan 0-1 pada minit ke 36 tetapi berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke 85.

Ini bukan nasib semata-mata tetapi semangat juang mereka yang tidak berputus asa sehingga ke akhir perlawanan. Semangat ini perlu dicontohi oleh kita di dalam kehidupan seharian.

Bagaimana pula dengan kecederaan kepada pemain-pemain utama? Memang kelab itu sedang menghadapi masalah kerana pemain-pemain pertahanan Joel Matip dan Dejan Lovren mengalami kecederaan. Mereka diberitakan akan memanggil semula pemain pertahanan Nathaniel Phillips yang dipinjamkan ke kelab Bundesliga, Stuttgart.

Walau bagaimanapun kelab itu mempunyai begitu ramai pemain yang boleh menjaring gol sehingga pengurus pasukan Jürgen Klopp boleh merehatkan pemain-pemain tanpa merasa bimbang.

Bukan sahaja Sadio Mane dan Mohamed Salah tetapi Divock Origi, Xherdan Shaqiri, Georginio Wijnaldum, Alex Oxlade-Chamberlain dan Naby Keïta juga boleh menjaringkan gol. Sekiranya berlaku kecederaan, Klopp boleh menurunkan apa sahaja kombinasi dan Liverpool tidak akan kekeringan gol.

Pengajaran kepada kita adalah di dalam sebuah organisasi kita tidak boleh mengharapkan beberapa orang sahaja untuk menjalankan sesuatu tugas tetapi kita perlu melatih lebih ramai yang dapat melakukan tugas itu.

Iskandar A Samad
30 Disember 2019

Comments

Popular posts from this blog

Siri 20 - PERLUKAH PASUKAN LUAR DI DALAM LIGA SUPER?

SIRI 13 - LIVERPOOL JUARA DUNIA.

Siri 10 - SAINGAN SEBENAR UEFA CHAMPIONS LEAGUE BERMULA.