Siri 1 - LIVERPOOL JUARA? JANGAN TERLALU YAKIN.

Kemenangan bergaya 3-1 Liverpool ke atas Manchester City
minggu ini telah menyakinkan penyokong-penyokong kelab tersebut bahawa mereka bakal ditabalkan sebagai juara Liga Perdana Inggeris atau EPL bulan Mei kelak. Musim lepas mereka telah gagal walaupun berjaya mendahului liga untuk jangkamasa yang panjang.

Kekalahan Manchester City itu juga merupakan satu petunjuk penting tentang kemampuan Liverpool kerana hanya kelab tersebut yang dilihat mampu menyaingi The Reds pimpinan Jurgen Klopp. Lebih manis lagi Manchester City yang telah merampas kejuaraan di saat akhir pada musim lepas.

Jika Liverpool berjaya musim ini maka ini merupakan kejuaraan EPL pertama kelab itu. Mereka tidak pernah memenangi EPL sejak liga tersebut ditubuhkan pada tahun 1992. Kelab itu telah memenangi kejuaraan liga utama Inggeris sebanyak 18 kali tetapi ianya sebelum EPL. Agak ganjil sejak EPL ditubuhkan Liverpool telah 2 kali memenangi kejuaraan utama untuk kelab-kelab di Eropah, Champions League, tetapi gagal di peringkat domestik.

Ketika artikel ini ditulis Liverpool mendahului EPL dengan 6 mata. Juara musim 2015-16 Leicester berada di tempat kedua. Ini bermakna mereka perlu kalah 2 kali dan pencabar terdekat mereka terus menang untuk memintas Liverpool. Ianya mustahil dalam masa yang terdekat kerana perlawanan-perlawanan mereka selepas ini adalah menentang Crystal Palace, Brighton, Everton, Bournemouth dan Watford yang di atas kertas senang ditewaskan.

Tetapi ramai penganalisis melihat adalah terlalu awal untuk meramalkan pemenang liga pada peringkat begitu awal seperti hari ini. Adakah Liverpool telah mencapai kemuncak mereka terlalu awal? Adakah mereka akan dapat mengekalkan prestasi mereka sehingga bulan Mei tahun hadapan? Selalunya akan berlaku kecederaan kepada pemain-pemain selepas cuti tahun baharu dan ia akan menjejaskan prestasi pasukan. Adakah pemain-pemain seperti Mohamed Salah, Sadio Mane, Virgil van Dijk dan James Milner yang begitu cemerlang hari ini akan kekal tanpa kecederaan sehingga akhir saingan liga?

Pada musim lepas, Liverpool telah mendahului Manchester City yang berada di tempat kedua dengan 7 mata pada 7 Januari 2019. Liverpool berada di puncak liga selama 3 bulan sebelum disingkirkan oleh Manchester City apabila mereka hanya mampu seri dengan Everton pada bulan Mac 2019. Akhirnya kelab Manchester itu telah memenangi kejuaraan dengan 1 mata. Kelab itu merangkul kejuaraan hanya pada hari terakhir musim dengan kemenangan 4-1 ke atas Brighton. Liverpool gagal walaupun hanya kalah 1 kali sepanjang musim. Begitu sengit saingan musim lepas.

Oleh itu penyokong-penyokong Liverpool tidak boleh merasa yakin dengan kedudukan mereka hari ini. Mungkin Leicester yang diurus oleh bekas pengurus mereka, Brendan Rodgers, bukan pencabar utama namun terdapat kelab-kelab ternama lain yang mungkin mengambil masa untuk panas. Selain dari Manchester City, saingan dari kelab-kelab seperti Chelsea, Arsenal, Manchester United dan Tottenham yang memiliki skuad yang berpengalaman tidak boleh diabaikan. Liverpool mungkin berada di takhta liga sekarang tetapi perjuangan masih panjang.

Iskandar A Samad
12 November 2019

Comments

Popular posts from this blog

Siri 20 - PERLUKAH PASUKAN LUAR DI DALAM LIGA SUPER?

SIRI 13 - LIVERPOOL JUARA DUNIA.

Siri 10 - SAINGAN SEBENAR UEFA CHAMPIONS LEAGUE BERMULA.