Siri 11 - BOLASEPAK DAN POLITIK.

Ramai yang berpandangan sukan dan politik perlu dipisahkan. Tetapi sejarah menunjukkan sukan sentiasa dipengaruhi dan ditentukan oleh politik. Sukan Olimpik merupakan satu contoh yang jelas.

Sukan Olimpik 1980 di Moscow telah diboikot oleh Amerika dan sekutu-sekutu mereka. Sukan Olimpik 1984 di Los Angeles pula telah diboikot oleh Soviet dan sekutu-kutunya. Sukan Olimpik 1976 di Montreal juga telah diboikot tetapi oleh negara-negara Afrika.

Bintang-bintang sukan telah turut menyatakan pandangan mereka terhadap isu-isu politik. Sama ada melalui kenyataan atau tindakan, ia telah menarik perhatian umum kerana status bintang mereka.

Pada 13 Disember lepas, pemain bolasepak Jerman berketurunan Turki Mesut Ozil mengecam penindasan Negara China terhadap kaum Uyghur yang beragama Islam.

Pemain Arsenal yang juga beragama Islam itu turut mendakwa negara-negara Islam telah gagal untuk membela kaum minoriti tersebut.

Tanah air kaum Uyghur telah secara paksa menjadi sebahagian dari Negara China dan dinamakan wilayah Xinjiang walhal kumpulan pemisah memanggilnya Turkistan Timur atau Uyghurstan. Mereka adalah serumpun dengan bangsa Turki.

Pada bulan Mac 2018, Persatuan Bolasepak England ( FA England ) telah mendenda pengurus pasukan Manchester City, Pep Guardiola, 20,000 pound kerana memakai reben kuning ketika satu perlawanan EPL.

Reben itu adalah tanda sokongan terhadap pemimpin-pemimpin Catalan yang dipenjara oleh kerajaan Sepanyol.

Pengurus juara EPL itu adalah kelahiran Catalan. Dalam satu referendum pada 1 Oktober 2017, lebih 92 peratus dari 2 juta penduduk Catalonia mahukan kemerderkaan daripada Sepanyol.

Guardiola didakwa telah melanggar peraturan pengiklanan FA England kerana membawa mesej politik ketika berada di dalam kawasan teknikal di tepi padang.

Pada Piala Dunia 2018 di Russia, 2 orang pemain Switzerland beragama Islam berketurunan Kosova, Xherdan Shaqiri dan Granit Xhaka telah membuat lambang helang dengan tangan mereka selepas Shaqiri menjaringkan gol menentang Serbia.

Perang telah meletus dalam tahun 1998 apabila Kosovo, sebuah wilayah autonomi di dalam Serbia, mahu berpisah dari Serbia. Lebih 8,600 orang awam Kosovar telah mati atau hilang di dalam peperangan untuk membebaskan Kosovo.

Lambang yang dibuat oleh pemain-pemain itu adalah helang berkepala dua Albania dan dalam satu kajian 75 peratus rakyat Kosovo mahu bergabung dengan Albania. Kosovo dan Albania adalah serumpun sepertimana Malaysia dan Indonesia.

FIFA telah mendenda Shaqiri dan Xhaka 10,000 Swiss Franc di atas tindakan mereka kerana didakwa bertindak bertentangan dengan semangat kesukanan.

Shaqiri bermain untuk Liverpool dan Xhaka untuk Arsenal di dalam EPL.

Sokongan bintang-bintang bolasepak terhadap sesuatu isu dapat memberikan publisiti yang meluas kepada isu tersebut. Sebagai manusia mereka sudah tentu memiliki pandangan dan perasaan.

Tetapi mereka perlu juga memiliki keberanian untuk menyatakan pandangan atau prinsip mereka kerana bukan sahaja boleh didenda tetapi boleh dianggap telah bertindak bertentangan dengan kepentingan kelab mereka yang merupakan majikan mereka.

Contohnya apabila Ozil menyentuh isu Uyghur, kelab beliau Arsenal telah menjauhkan kelab itu dari kenyataan tersebut. Ini tidak menghairankan kerana Arsenal seperti kelab-kelab EPL yang lain mempunyai kepentingan ekonomi di Negara China.

Malah pada 15 Disember lepas, televisyen negara itu telah membatalkan siaran langsung EPL di antara Manchester City dan Arsenal. Ini dilihat sebagai tindakbalas kepada kenyataan Ozil.

Beliau mungkin bukan sempurna atau selepas ini akan menarik balik kenyataan beliau kerana dikenakan tekanan namun paling kurang beliau telah bersuara.

Di dalam keadaan pemimpin-pemimpin politik tidak berani bersuara atau bersikap berkecuali, bintang-bintang seperti Ozil telah mengajar mereka.

Iskandar A Samad
16 Disember 2019

Comments

Popular posts from this blog

Siri 20 - PERLUKAH PASUKAN LUAR DI DALAM LIGA SUPER?

SIRI 13 - LIVERPOOL JUARA DUNIA.

Siri 10 - SAINGAN SEBENAR UEFA CHAMPIONS LEAGUE BERMULA.