SIRI 13 - LIVERPOOL JUARA DUNIA.

Juara "UEFA Champions League" ( UCL ), Liverpool, telah muncul juara kelab dunia setelah mengalahkan juara Copa Libertadores dari Brazil, Flamengo 1-0 pada 21 Disember lepas.

Mereka telah menjuarai Piala Dunia Kelab FIFA ( FIFA Club World Cup ) tahun ini yang telah berlangsung di Doha, Qatar. 7 pasukan dari konfederasi-konfederasi persatuan bolasepak seluruh dunia telah menyertainya.

Kelab-kelab tersebut selain dari Liverpool yang mewakili UEFA dan Flamengo yang mewakili CONMEBOL ( Amerika Selatan ) adalah Esperance de Tunis dari Tunisia mewakili CAF ( Afrika ), Monterrey dari Mexico mewakili CONCACAF ( Amerika Utara & Tengah dan Caribbean ), Al-Hilal dari Arab Saudi mewakil AFC ( Asia ), Hienghène Sport mewakili OFC ( Oceania ) dan Al-Sadd yang mewakili tuan rumah Qatar.

Kejohanan tersebut bermula dalam tahun 2000 sebagai Kejohanan Kelab Dunia FIFA ( FIFA World Club Championship ) dan pada 2005 bertukar menjadi Piala Dunia Kelab FIFA ( FIFA World Club Cup ). Pertandingan ini menggantikan Piala Antara Benua ( Intercontinental Cup ) yang dipertandingkan sejak 1960 di antara juara kelab Eropah dan kelab Amerika Selatan tetapi dihentikan dalam tahun 2004.

Walaupun pemenang piala ini adalah johan kelab dunia namun pertandingan ini kurang popular berbanding UCL. Walau bagaimanapun tahun ini juara UCL Liverpool telah memberikan komitmen yang sepenuhnya dengan menghantar pasukan utama.

Malah apabila perlawanan separuh akhir di Qatar bertembung dengan pelawanan suku akhir Piala Carabao di England pada 18 Disember lepas, mereka hanya sekadar menurunkan pemain-pemain muda untuk perlawanan di England. Akibatnya mereka telah dibelasah 5-0 oleh lawan mereka, Aston Villa.

Keputusan Liverpool untuk menurunkan pasukan utama menghasilkan kemenangan 2-1 ke atas Monterrey dan mara ke perlawanan akhir.

Pada perlawanan akhir mereka telah menewaskan Flamengo 1-0 dengan jaringan Roberto Firmino pada masa tambahan.

Ini merupakan kali kedua sebuah kelab dari England memenangi piala ini. Kali pertama adalah Manchester United dalam tahun 2008.

Sejak tahun 2000, Real Madrid yang memenangi pertandingan ini 4 kali merupakan pemenang paling banyak. Kedua adalah Barcelona dengan 3 kemenangan.

Kelab-kelab Eropah telah memenangi 12 kali sementara kelab-kelab Amerika Selatan hanya 4 kali.

Hanya 4 kali bukan kelab Eropah atau Amerika Selatan telah memasuki perlawanan akhir.

Mungkinkah kelab dari Malaysia satu hari nanti akan menyertai Piala Dunia Kelab FIFA ini? Nampak tipis kerana mereka perlu menjadi juara Liga Juara-Juara AFC ( AFC Champions League ) untuk layak. Ini bermakna mereka perlu mengenepikan kelab-kelab profesional dari Jepun, Korea Selatan dan Australia.

Qatar masih akan menjadi tuan rumah untuk tahun 2020. China pula akan menjadi tuan rumah untuk tahun 2021. Siri 2021 akan melibatkan 24 pasukan dan bukan 8 pasukan seperti tahun ini.

Comments

Popular posts from this blog

Siri 20 - PERLUKAH PASUKAN LUAR DI DALAM LIGA SUPER?

Siri 10 - SAINGAN SEBENAR UEFA CHAMPIONS LEAGUE BERMULA.