Siri 18 - TEKNOLOGI VAR YANG MENGUBAH BOLASEPAK.

Kemenangan 1-0 Liverpool ke atas Wolverhampton pada 30 Disember lepas mengekalkan jarak 13 mata dengan kelab di tempat kedua, Leicester.

Tetapi kemenangan Liverpool adalah penuh dengan kontroversi kerana ia didakwa dibantu oleh VAR.

VAR atau Video Assistant Referee ( Video Bantuan Pengadil ) adalah sistem di mana keputusan-keputusan pengadil disahkan atau diputuskan oleh tayangan semula video.

Dalam perlawanan tersebut, asalnya gol Sadio Mane pada minit ke 42 telah tidak dibenarkan kerana bola dilihat terkena tangan seorang lagi pemain Liverpool, Adam Lallana. Tetapi setelah semakan dengan VAR, gol itu telah dibenarkan kerana VAR mengesahkan bola itu terkena bahu dan bukan tangan Lallana.

Pada masa tambahan separuh masa pertama, Pedro Neto telah menjaringkan gol penyamaan untuk Wolverhampton tetapi VAR telah membatalkan gol itu kerana offside.

VAR bukan sahaja telah menimbulkan kontroversi pada perlawanan tersebut tetapi pada perlawanan-perlawanan Liga Perdana Inggeris ( EPL ) lain pada minggu yang sama.

Bukan sahaja gol Woverhampton tetapi gol-gol yang dijaringkan oleh Norwich, Brighton, Sheffield United dan Crystal Palace telah dibatalkan oleh VAR.

Terdapat banyak lagi insiden-insiden lain yang melibatkan VAR di dalam EPL yang menimbulkan kemarahan pasukan-pasukan yang menerima padahnya.

Selain dari EPL, di antara liga-liga Eropah yang menggunakan VAR adalah Bundesliga Jerman ( mulai musim 2017-18 ), Serie A Itali ( 2017-18 ) dan La Liga Sepanyol ( 2018-19 ).

Piala Dunia FIFA 2018 di Moscow merupakan Piala Dunia pertama yang menggunakan VAR. Sementara Liga Juara-Juara UEFA ( UEFA Champions League ) mula menggunakan VAR pada musim 2019-20.

Selain dari keputusan-keputusan VAR yang dipertikaikan,   penggunaanya menyebabkan suasana di dalam stadium berubah. Di saat-saat genting pemain dan penonton terpaksa menunggu keputusan VAR.

Walaupun semakan dijamin tidak lebih dari 80 saat namun seluruh stadium terhenti. Ianya bukan lagi seperti perlawanan bolasepak tetapi seperti debaran menunggu keputusan peperiksaan.

Pada 6 November lepas Setiausaha FAM, Stuart Ramalingam, mengesahkan VAR tidak akan digunakan pada Liga Malaysia ( Liga M ) musim depan.

FAM berpandangan VAR bukan cara yang terbaik untuk menyelesaikan pertikaian dan kos VAR sekarang adalah tinggi sekitar RM100, 000 untuk setiap perlawanan.

Pada akhir bulan Disember, sebuah akhbar UK telah membuat satu kajian tentang kesan VAR kepada pasukan-pasukan EPL.

Menurut kajian itu Liverpool akan kehilangan 5 mata tetapi masih berada di puncak liga.

Manchester City akan naik dari tempat ketiga ke tempat kedua kerana akan mendapat 3 mata tambahan.

Tottenham pula paling rugi kerana akan turun dari tempat ke 6 ke tempat ke 12 kerana kehilangan 5 mata.

Walau bagaimanapun dengan VAR pemain-pemain sedar bahawa mereka tidak akan terlepas dari hukuman dan mendorong mereka supaya berkelakuan lebih baik. Contohnya pada Piala Dunia 2018, jumlah kad merah yang dilayangkan, hanya 4, adalah yang terendah sejak Piala Dunia 1978.

Akibat VAR, gol dari tendangan penalti bagi Piala Dunia 2018 adalah satu rekod. 22 gol berbanding dengan rekod sebanyak 17 gol pada Piala Dunia 1998. VAR dapat mengesan kesalahan-kesalahan yang menghasikan tendangan penalti.

Seperti teknologi baru yang lain VAR ada kebaikan dan keburukan. Mereka yang mendapat manfaat sudah tentu akan menyokong dan mereka yang menjadi "mangsa" akan menentang. Ia hanya perlu dimanfaatkan dan diuruskan dengan baik.

Iskandar A Samad
9 Januari 2020

Comments

Popular posts from this blog

Siri 20 - PERLUKAH PASUKAN LUAR DI DALAM LIGA SUPER?

SIRI 13 - LIVERPOOL JUARA DUNIA.

Siri 10 - SAINGAN SEBENAR UEFA CHAMPIONS LEAGUE BERMULA.