Siri 4 - PEMAIN BOLASEPAK MUSLIM MEMBANTU MENGUBAH PERSEPSI BURUK TERHADAP ISLAM DI EROPAH.

Menurut kajian Universiti Stanford kehadiran pemain Liverpool Mohamed Salah bertanggungjawab mengurangkan sikap prejudis ( Islamophobia ) terhadap Islam di bandaraya tersebut.

Pemain kelahiran Mesir itu telah berpindah ke Liverpool daripada kelab Roma di Itali pada bulan Jun 2017 dengan bayaran 36.9 juta pound.

Kajian tersebut berpandangan keperibadian Salah yang mesra berjaya mengubah imej masyarakat Islam di bandaraya itu dan Islam tidak lagi dianggap asing. Sejak perpindahan Salah kejadian jenayah anti Muslim telah turun sebanyak 18.9 peratus.

Liverpool juga mempunyai pemain-pemain Islam lain selain dari Salah seperti Sadio Mané dan Xherdan Shaqiri. Mané adalah warga Senegal sementara Shaqiri adalah warga Switzerland berbangsa Kosovo. Seorang lagi pemain Naby Keita dari Guinea tidak dapat beraksi musim ini kerana mengalami kecederaan.

Walau bagaimanapun Salah atau nama penuhnya Mohamed Salah Hamed Mahrous Ghaly adalah yang paling menyerlah. Setakat hari ini beliau telah menjaringkan 60 gol dalam 85 perlawanan untuk Liverpool. Mané pula tidak jauh di belakang dengan 52 gol dalam 104 perlawanan.

Kejayaan Salah menunjukkan sikap prejudis terhadap umat Islam dapat diubah dengan adanya ikon-ikon Muslim yang disanjung masyarakat. Dakwah melalui contoh dan tauladan itu lebih berkesan dari kata-kata. Ini terbukti apabila terdapat peminat yang mahu memeluk Islam kerana kagum dengan kecemerlangan Salah.

Majalah TIME dari Amerika Syarikat menamakan Salah sebagai 100 individu paling berpengaruh dunia untuk tahun 2019.

Terdapat lebih 50 pemain Muslim yang bermain di dalam Liga Perdana Inggeris atau EPL. Hampir setiap kelab memiliki pemain Muslim. Contohnya juara EPL tahun lepas Manchester City memiliki Riyad Mahrez, Tottenham memiliki Moussa Sissoko dan Arsenal memiliki Mesut Özil.

Kelab-kelab terkemuka di Eropah juga memiliki pemain-pemain Muslim yang ternama. Di antaranya adalah Sami Khedira yang bermain untuk Juventus di dalam Serie A Itali dan Karim Benzema untuk Real Madrid di dalam La Liga Sepanyol

Bilangan pemain Muslim dalam Ligue 1 Perancis adalah ramai kerana Perancis pernah menjajah negara-negara Afrika dan ramai penduduk Muslim dari Afrika yang telah berhijrah ke negara Eropah tersebut. Seramai 8.8 peratus atau 5.7 juta penduduk Perancis beragama Islam. Ramai penduduk Muslim itu adalah terdiri dari generasi kedua dan ketiga.

Terdapat 7 orang pemain Muslim di dalam pasukan Perancis yang memenangi Piala Dunia 2018 di Russia. Mereka adalah Adil Rami (keturunan Maghribi), Djibril Sidibé (Mali), Benjamin Mendy (Senegal), Paul Pogba (Guinea), N’Golo Kanté (Mali), Nabil Fekir (Algeria) and Ousmane Dembélé (Mali). Walau bagaimanpun mereka dilahirkan di Perancis.

Sekurang-kurangnya kewujudan pemain-pemain Muslim tersebut dapat membantu melenyapkan persepsi bahawa Islam adalah agama misteri atau agama keganasan. Ia dapat memberi gambaran bahawa umat Islam adalah juga sama seperti masyarakat majoriti di Eropah yang mahu hidup dalam aman dan berupaya menyumbang kepada masyarakat.

Berita dan gambar pemain-pemain tersebut mengerjakan Umrah dan ibadat Haji juga dapat memperkenalkan Islam kepada masyarakat di Eropah. Gambar Paul Pogba mengerjakan Umrah bersama pemain Chelsea
Kurt Zouman telah menjadi viral tahun ini. Sebelum Euro 2016, gambar-gambar Mesut Ozil menunaikan Umrah telah juga tersebar.

Walaupun ada pemain Islam yang mengaku tidak mengamalkan Islam atau "non-practising Muslim" tetapi ramai yang berpegang kepada ajaran agama Islam. Mengerjakan solat dan berpuasa di bulan Ramadhan. Bintang-bintang bolasepak yang bernilai berjuta-juta pound pun solat dan berpuasa maka malang sekali jika terdapat umat Islam yang meninggalkan perintah Allah tersebut.

Iskandar A Samad
21 November 2019

Comments

Popular posts from this blog

Siri 20 - PERLUKAH PASUKAN LUAR DI DALAM LIGA SUPER?

Siri 19 - BERMULANYA JUAL BELI PEMAIN.

Siri 17 - PEMAIN NATURALISASI : BURUK ATAU BAIK?